Pengajaran Daripada Isra’ Dan Mi’raj

Penulis: akhukum fil islam

Ulama’ sirah bersepakat bahawa mu’jizat Isra’ dan Mi’raj berlaku selepas dakwah Nabi Muhammad SAW di Thaif, dan selepas dihalau oleh penduduknya dengan dahsyat sehingga Nabi SAW menganggap hari tersebut lebih teruk dari kesusahan Perang Uhud dengan apa yang berlaku pada hari itu. Hal ini jelas seperti yang diriwayatkan dalam kitab Sohih Bukhori bahawa sesungguhnya Nabi SAW pernah ditanya oleh Saidatina Aisyah RA:

“Wahai Rasulullah! Adakah hari yang lebih dahsyat bagimu dari hari Uhud?” Baginda SAW menjawab dengan bersabda: “Sungguh aku telah menerima daripada kaummu apa yang aku terima. Dan perkara paling teruk yang aku terima daripada mereka ialah pada hari Al-Aqabah, ketika aku bertemu dengan anak “Abdu Yalil Bin Abdu Kalal” tetapi dia tidak memenuhi harapanku, maka aku berlalu dengan kesedihan yang jelas diwajahku sehingga aku tidak sedar melainkan ketika aku berada di “Qarnussa’alib”, aku mengangkat kepalaku, tiba-tiba terdapat awan yang melindungiku, aku memerhatikannya, tiba-tiba terdapat Jibril di situ maka dia memanggilku seraya berkata: Sesungguhnya Allah mendengari kata-kata kaummu kepadamu, dan apa yang mereka jawab, dan sesungguhnya telah diutuskan kepadamu malaikat yang menjaga gunung-ganang supaya engkau memerintahkannya dengan apa sahaja yang engkau kehendaki terhadap mereka. Maka malaikat yang menjaga gunung memanggilku, lalu memberi salam kepadaku seraya berkata: Wahai Muhammad! Apakah perkara yang engkau inginkan? Kalau engkau mahu, akan aku hempapkan ke atas mereka kedua-dua bukit tersebut… Maka Nabi SAW bersabda: Bahkan aku berharap agar Allah mengeluarkan dari sulbi-sulbi mereka orang yang hanya menyembahNya dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu pun.”

Sesungguhnya Nabi SAW telah berhina diri di hadapan Allah selepas baginda keluar dari Thaif, dan mengadu kepada Allah tentang kelemahannya dan akan halnya yang kehilangan pembantu dan penolong, maka Allah mengurniakan kepadanya kecerdikan mentadbir untuk memasuki Makkah dengan selamat. Kemudian Allah memuliakan baginda dan memberi kerehatan jiwa dan ketenangan dengan bertemu Allah SWT ketika malam Isra’ dan Mi’raj. Sesungguhnya keteguhan baginda SAW menghadapi peristiwa-peristiwa yang berlaku di Makkah dari usaha-usaha untuk mengepung dakwah pada permulaannya dan berdirinya Quraisy sebagai batu penghalang telah menyebabkan baginda terdedah kepada kebencian, tuduhan dan ancaman yang hebat. Dan menyebabkan orang-orang beriman ditimpa sedahsyat-dahsyat ujian, sehingga mereka tidak pernah merasakan kerehatan sejak mereka beriman dengan baginda Ar-Rasul SAW. Firman Allah SWT telah menjelaskan kepada kita bahawa hikmah daripada peristiwa Isra’ itu ialah Allah SWT ingin menunjukkan kepada hambanya (Nabi Muhammad SAW) sebahagian daripada tanda-tanda kebesarannya, Allah berfirman:

 

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Yang bermaksud: Maha Suci Allah yang memperjalankan hambanya pada waktu malam daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya supaya kami menunjukkan kepadanya di antara tanda-tanda kebesaran kami, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah Al Isra’: 1)

Antara Pengajaran Isra’ Dan Mi’raj

Isra’ dan Mi’raj merupakan ujian bagi orang-orang islam dan bertujuan membersihkan saf mereka, kerana ketika diberitakan kepada kaum Quraisy tentang Isra’ dan Mi’raj maka sebahagian daripada orang-orang Islam teruji iman mereka malah ada di kalangan mereka yang murtad. Imam Ibnu Kathir meriwayatkan dari Qatadah bahawa: “Nabi SAW pergi ke Makkah dan memberitahu orang-orang Quraisy tentang perkara tersebut (Isra’ dan Mi’raj), maka ramai manusia yang mendustakan baginda SAW, dan sebahagian lagi murtad, sedangkan Abu Bakar As-Siddiq RA segera membenarkan baginda SAW, dan beliau bertanya kepada baginda SAW tentang sifat Baitul Maqdis, seraya berkata, “Sesungguhnya aku membenarkannya tentang berita langit pada waktu pagi dan petang, maka tidakkah patut aku membenarkannya tentang pengkhabaran Baitul Maqdis?” Maka sejak peristiwa tersebut beliau digelar sebagai sebagai As-Siddiq. Demikianlah Isra’dan Mi’raj sebagai satu peristiwa yang penuh dengan keindahan dan mukjizat, ia adalah antara tanda-tanda kekuasaan Allah SWT yang sudah tentu tidak mampu dikalahkan oleh sesiapa pun sama ada di bumi mahupun di langit, dan di antara pengajaran Isra’dan Mi’raj ialah:

  1. Menguji kebenaran iman orang-orang yang beriman.
  2. Membersihkan saf mereka daripada orang-orang yang lemah iman dan tidak yakin dengan kebenaran Nabi SAW.
  3. Menguji keyakinan dan keteguhan iman di dalam jiwa mereka, kerana peristiwa tersebut di luar jangkauan akal manusia, ia memerlukan kepada mu’min yang benar dalam imannya, tidak ada sesuatu pun yang mampu menggoyangkan keyakinannya walau sebesar dan sedahsyat mana pun perkara itu.

Isra’ dan Mi’raj berlaku sebelum peristiwa hijrah ke Madinah dan sebelum peninggalan rumah-rumah dan tanah air, supaya ia menjadi ujian dan latihan bagi orang-orang mu’min untuk mentaati Allah Azza Wajalla, kerana hijrah adalah satu peringkat yang baru, yang mana seluruhnya adalah jihad dan pengorbanan di jalan Allah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang mukmin (yang sebenar) ialah mereka yang beriman dengan Allah SWT dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu dan berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar.” (Al Hujurat : 15)

Kewajipan Berjihad Di Jalan Allah

Isra’ dan Mi’raj adalah pengumuman kepada seluruh dunia bahawa Rasulullah SAW merupakan Nabi kepada dua kiblat (Masjidil Haram dan Masjidil Aqsa) dan Imam kepada timur dan barat serta pewaris bagi para nabi sebelumnya dan contoh tauladan kepada generasi selepasnya.

تَبَارَكَ الَّذِي نَزَّلَ الْفُرْقَانَ عَلَى عَبْدِهِ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا

Yang bermaksud: “Maha suci Allah yang telah menurunkan Al-Quran kepada hambanya agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam ” (Al Furqan: 1)

Ketahuilah bahawa menjadi satu perkara yang besar, pelik dan bahaya untuk kita bercakap atau menulis tentang peristiwa Isra’ dan Mi’raj, sedangkan bumi Isra’dan Mi’raj, laluan penghulu segala makhluk SAW dan tempat baginda mengimami para Anbiya’ berada di bawah tangan orang-orang yahudi, mereka bebas melakukan apa sahaja terhadap penduduk-penduduknya, menumpahkan darah-darah mereka dan memusnahkan kehidupan mereka, dan para ibubapa menyaksikan detik berpisah dengan anak-anak mereka, para syuhada’ yang mulia, dan rumah-rumah menangis ketika melihat perarakan mengiringi para syuhada’ menuju ke tempat tinggalnya yang terakhir di dunia ini. Ironiknya, dunia Islam seluruhnya seolah-olah terbius, tiada pembelaan yang sewajarnya dilakukan seolah-olah isu Masjidil Aqsa ini langsung tiada kaitan dengan dunia Islam.

Sedarlah bahawa menjadi sesuatu yang sangat bahaya apabila sensitiviti terhadap islam itu telah mati, nyenyak dalam tidurnya. Ketahuilah, bahawa menjadi sesuatu yang sangat genting apabila umat Islam sibuk dengan perkara-perkara remeh, salah faham dan saling berselisisih pendapat dalam menentukan halatuju mereka yang akhirnya memalingkan mereka daripada jalan yang benar dan misi yang agung. Sesungguhnya risalah Islam yang mulia dan jihad Nabi SAW bersama para sahabatlah yang memberikan kehidupan ini erti yang sebenar, dan tidak sepatutnya bagi pendukung-pendukung agama yang agung ini untuk redha dengan kehinaan dan kelemahan, sedangkan perlembagaannya yang kekal (Al-Quran) telah menetapkan:

“Dan kehebatan itu hanya bagi Allah, Rasulnya,dan orang-orang yang beriman”. (Al Munafiqun: 8 )

Dan Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang memberikan kehinaan pada dirinya tanpa dipaksa maka dia bukanlah dari kalanganku”.

Sesungguhnya satu-satunya jalan untuk mendapatkan semula Masjidil Aqsa telah jelas, lebih jelas dari cahaya matahari, iaitulah Jihad di jalan Allah dan syahid demi menyelamatkan umat ini. Allah SWT berfirman yang maksudnya:

“Diizinkan bagi orang-orang yang diperangi (untuk berperang) kerana mereka dizalimi dan Allah Maha berkuasa membantu mereka” (Al Haj: 39)

Dan orang-orang yang berjihad di jalan Allah demi membantu orang-orang yang dizalimi, dan demi membalas kejahatan, permusuhan, penjajahan, dan kerosakan mereka sahajalah yang akan dikurniakan kehidupan yang sebenar. Adapun mereka yang menghina orang-orang yang meminta pertolongan mereka ketika susah dan bencana, dan tidak menyahut seruan orang yang dizalimi maka merekalah orang-orang yang keluar dari dunia dalam keadaan tidak dimaafkan bagi mereka dan tidak akan dikasihani oleh seorang pun. Renungilah maksud firman Allah SWT:

“Maka langit dan bumi tidak menangisi pemergian mereka dan mereka tidak diberikan penangguhan waktu.” (Ad Dukhon: 29)

Hari ini kita menyambut Isra’dan Mi’raj dengan kita meyakini keagungannya. Justeru itu keyakinan ini hendaklah diikuti aqidah yang teguh dan keikhlasan hati dalam melaksanakan ajaran kebenaran (Islam) ini dari sudut ibadat, muamalat, dan akhlak kerana sesungguhnya jika benarlah amalan dan keikhlasan yang berada di dalam diri kita nescaya kita akan mampu — dengan izin Allah — untuk berjaya didalam segala aspek kehidupan, dan berjaya menutup segala pintu-pintu putus asa, kegagalan dan kelemahan.

Sesungguhnya tanggungjawab umat — pemerintah dan rakyat — pada saat ini adalah terlalu besar, dan pada hari ini Baitul Maqdis — pusat dunia Islam — dan sekelilingnya meraung sebagai orang-orang yang dizalimi dan dihina dengan penindasan mereka yang paling memusuhi orang-orang yang beriman… Keadaan Masjidil Aqsa hendaklah menjadi agenda utama umat Islam hari ini, dan juga bagaimana cara untuk mengembalikannya semula ke tangan umat Islam. Kita perlu menggunakan semua wasilah-wasilah yang dibenarkan oleh syara’ untuk merealisasikan tujuan ini. Inilah perkara yang wajib dilakukan dan misi yang agung. Inilah peristiwa yang mulia di antara peristiwa-peristiwa dan salah satu tanda yang agung di antara tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

“Sesungguhnya pada perkara tersebut terdapat peringatan bagi mereka yang mempunyai hati atau orang yang menggunakan pendengaran sedang dia menyaksikannya.” (Qaf : 37).

One Response

  1. jzkk atas artikel berguna.teruskan mengumpulkan tsaqafah2 islam yg bermanfaat di dalam blog ini utk kegunaan ramai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: