Khas: Amanat Presiden

AMANAT PRESIDEN SEMPENA HARI KEMERDEKAAN

Merdeka 50

31 Ogos 2007 kita akan menyambut hari jubli emas kemerdekaan Malaysia ke 50 tahun. Hari bersejarah ini berhak disambut dengan penuh kesyukuran dan kemegahan kerana ia adalah tarikh keramat buat penduduk di bumi bertuah ini. Hari di mana tamatnya pendudukan orang putih dan bermulanya pemerintahan sendiri. Walaupun perjuangan mengisi kemerdekaan tidaklah kurang sengsaranya dari perjuangan kemerdekaan itu sendiri, seperti kata Tun Dr Mahathir.

Hari yang penuh bermakna ini harus disambut dengan penuh penghayatan terhadap detik-detik perjuangan yang panjang, yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda. Ia tidak harus dijadikan sekadar publisiti politik murahan atau sebagai hari bersukaria, membeli belah, bercuti dan berkelah, atau hari warna warni untuk promosi pelancongan.

Hari kemerdekaan sepatutnya digunakan untuk mengajar generasi baru mengenang keagongan silam. Meniupkan dalam diri mereka jiwa merdeka, jiwa perwira, jiwa perjuangan, jiwa pengorbanan, jiwa agong yang menolak sebarang ketundukan dan ikutan kepada selain dari Allah. Hari kemerdekaan ialah hari kita kita mengisytiharkan kehancuran kepada kuasa thoghut yang “mendakwa diri sebagai tuhan”.

Ini jugalah hari di mana kita sepatutnya merenung sejauhmana usaha-usaha kita selama ini telah membuahkan hasil dan banyak mana lagi pengorbanan yang diperlukan untuk meneruskan perjuangan seterusnya?

Kita tidak sepatutnya leka dan berpada dengan kemerdekaan juz’i (terbatas) yang diberikan kepada kita seumpama hadiah yang harus di balas dengan terimakasih. Perjuangan menuntut kemerdekaan dan kebebasan tidak harus berhenti di sini sahaja, dalam keadaan dunia di perintah olah undang-undang rimba di mana bangsa yang kuat membuli bangsa yang lemah. Negara-negara dunia dibahagi mengikut kasta-kasta, ada Negara Pertama dan Negara Ketiga, negara kaya dan negara miskin. Negara kaya mengawal segala sumber kekayaan dan negara miskin diharamkan daripada sebarang peluang. Politik dunia dicorak oleh kepentingan kuasa besar yang penuh dengan konspirasi dan muslihat..

Allahu Akbar! Betapa dunia ini memerlukan kepada khilafah yang akan memberi keadilan sejagat dan menamatkan segala diskriminasi dan penindasan.

Memang tentera penjajah telah meninggalkan kebanyakan negara Islam, namun masih terdapat negara Islam yang masih terjajah seperti Palestin, sebahagian hilang identiti oleh dasar pecah perintah seperti Kasymir, Kusrdistan dll., dan ada yang jadi minoriti seperti Fatani, Filipina dan seumpamanya, ada yang masih berjuang seperti negara-negara di Eropah Timur dan ada yang dijajah semula seperti Iraq dan Afghanistan. Dan ada lagi yang sedang diancam untuk campurtangan dan dijajah.

Ini menunjukkan perjuangan belum selesai. Perjuangan menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan masih berterusan. Kita harus sedar bahawa keluarnya mereka dari negara kita bukan bermakna bahawa kita telah merdeka sepenuhnya, pengunduran mereka hanya pengunduran tektikal. Sistem globalisasi merupakan penjajahan bentuk baru dimana kuasa besar dapat mengukuhkan cengkamannya dalam semua bidang tanpa dinamakan sebagai penjajah. Penjajahan globalisasi adalah pendudukan yang disahkan dengan berbagai perjanjian yang tidak adil. Pengaliran modal, pasaran terbuka dan tenaga kerja mahir. Globalisasi menjadikan “negara kebangsaan” hanya bertugas untuk memberi khidmat, menyediakan sekolah, menjaga kesihatan dan sebagainya sahaja.

Kesedaran kita terhadap maksud kemerdekaan yang sebenar menuntut kita mengambil peluang ini untuk mengukuhkan kedudukan, mengatur rancangan untuk merebut hak yang masih berbaki. Oleh itu, kita mesti meneruskan agenda perjuangan dengan dilatari oleh semangat jihad. Kita perlu mengekalkan “tsaqafah al-muqawamah” (budaya perjuangan dan tidak menyerah kalah), mendidik masyarakat kita dengan selok-belok cara menghadapi “ghazwu al-fikri” (serangan pemikiran) dan “siasah tatbi’” (polisi menjinak dan menormalisasikan bangsa terhadap segala agenda penjajahan).

Kemerdekaan sebenar akan berlaku apabila kita benar-benar kembali kepada Allah dan menjadi Islam sepenuhnya. Wahai orang orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam dan jangan kamu mengikut jejak langkah syaitan. Kerana masuk Islam membawa kemerdekaan dan kemuliaan. Sedangkan mengikut syaitan membawa kepada “tab‘iyyah” (kedudukan sentiasa terikut dan tunduk kepada pihak lain) dan kehinaan.

Islam mengajar kita kebebasan yang sebenar dari kalimah syahadah itu sendiri; yakni sembahlah Allah dan jauhkan diri dari thoghut. Islam tidak mengenal pemisahan antara kalimah dakwah dan kalimah jihad. Musuh Islam tidak berhenti-henti untuk menghapuskan semangat jihad dari jiwa muslim supaya mereka menjadi jinak dan mengalah. Mereka mentafsirkan jihad dengan berbagai tafsir……tafsiran yang tidak diredai oleh Allah. Dengan itu senanglah mereka melakukan segala perancangan mereka terhadap umat Islam.

Rib’i bin ‘Amir pernah menyebut bila ditanya oleh Rustum: Allah mengutuskan kami untuk mengeluarkan sesiapa yang mahu, daripada menyembah hamba kepada pengabdian diri hanya kepada Allah…

Kalimah merdeka pada lazimnya mengandungi dua sendi; kebebasan dan berdikari. Tapi Islam membawa pengertian yang lebih menyeluruh dan lebih menggarap permasalahan sebenar. Islam mahu kemerdekaan di mana kalimah Allah lebih tinggi dari segala kalimah. Ia bukan sekadar kemerdekaan dari segi pendudukan tentera tetapi kemerdekaan politik, ekonomi, budaya, teknologi dan lebih penting dari itu semua ialah kemerdekaan insan itu sendiri.

Kemerdekaan insan adalah muqaddimah kepada segala bentuk kemerdekaan yang lain. Tanpa insan yang merdeka, kemerdekaan sebenar tidak akan tercapai dan perjuangan kemerdekaan hanya akan terhenti separuh jalan seperti apa yang kita lihat hari ini.

Perjuangan kemerdekaan memerlukan jiwa kental yang hanya dapat dibekalkan oleh Islam, jiwa yang memiliki pandangan dan memahami dimensi perjuangan dan beban yang harus dipikul. Mereka yang memahaminya dalam konteks ‘ubudiah dan kewajiban menegakkan Islam secara sempurna sahaja yang sanggup berkorban untuk satu perjuangan yang panjang. Perjuangan untuk kemerdekaan kemanusiaan seluruhnya bukan sekadar perjuangan sebidang tanah, seluas sekangkang kera.

Di era globalisasi dan kapitalis, kemerdekaan tanah tidak memberi banyak makna. Kerana negara bangsa yang ditubuhkan atas asas wataniah (tanahair) dan kebangsaan hanya mempunyai kedaulatan terbatas tak ubah seperti pengurus bandaran yang mengurus hal-hal kebajikan rakyat semata-mata. Adapun hal-hal berkaitan politik, keamanan dan ekonomi, maka ia terletak di bawah hegemoni kuasa tunggal dunia. Apalah erti kemerdekaan yang ada ini…jika tidak diringi dengan semangat juang berterusan dengan semangat jihad untuk membawa dakwah sehingga la takuna fitnah wa yakuna ad-din lillah.

Presiden ISMA

Ustaz Abdullah Zaik
Presiden
Ikatan Muslimin Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: