Tazkirah: Taubat Dan Umat

Doa

Di dalam melaju dengan langkah-langkah bersama dakwah ini, alangkah eloknya jika kita mengambil beberapa saat, sejenak menilai semula dan melihat-lihat realiti keadaan ummah kini. Detik-detik ‘bernafas’ ini begitu penting agar kita dapat kembali menyusun dan mengumpul baki-baki tenaga kita. Saban masa, semakin banyak kerosakan berlaku di dalam masyarakat, jahiliyyah masuk secara beransur-ansur tetapi begitu mengesankan, seolah-olah kotoran degil yang sukar ditanggalkan. Di tanah air kita sendiri, kita seolah-olah dapat melihat musim-musim penyakit saling bertukar-tukar dengan penyakit-penyakit baru, tetapi penyakit lama terus menular kronik. Dari kes-kes khalwat, zina, buang bayi, sumbang mahram, ragut, banjiran bahan-bahan lucah dan picisan, ketagihan dadah, rempit, dan kini jenayah seksual terhadap kanak-kanak. Perasaan aman telah ditarik oleh Allah dari masyarakat termasuk diri-diri dae’i yang ingin membawa perubahan.

Ikhwatiy filLah,

Di sebalik segala ujian ini, merupakan hikmah kepada kita, untuk menilai di mana kita berada, mengukur usaha kita, dan yang paling penting supaya kita dapat menyucikan diri kita. Allah ingin supaya anasir-anasir yang baik ini lebih mendekatkan diri kepadaNya.

Di dalam Surah At-Taubah, Allah SWT telah menerangkan ciri-ciri orang-orang mukmin dengan firmanNya, “Orang-orang yang bertaubat, yang mengabdikan diri, bertahmid, mujahadah terhadap nafsu dan berpuasa, yang ruku’, yang sujud, menyeru kepada ma’ruf, mencegah kemungkaran, dan menjaga batas-batas yang Allah tetapkan, maka bergembiralah orang-orang Mukmin” (ayat 112). Jika kita meneliti kalam ini, sebenarnya di dalamnya terkumpul suatu formula kejayaan yang besar seandainya difahami dan diamalikan bersungguh-sungguh.

Allah SWT telah meletakkan di tempat yang pertama, mendahului amal-amal ta’abbud dan amal-amal dakwah suatu sifat utama tazkiyyah diri, iaitu AT-TAUBAH. Dalam menerangkan sifat at-Taubah ini di dalam diri para mukmin, Allah SWT menggunakan ‘isim faa’il’ iaitu pada kalimah ‘at-Taa’ibun’, menunjukkan bahawa peribadi-peribadi mukmin itu kehidupannya sentiasa kembali kepada Allah SWT di setiap kesalahan dan dosa yang dilakukan, tidak kira sama ada dosa kecil atau besar, dosa anggota, lidah mahupun hati. Dan rahsia disebalik penggunaan isim faa’il itu adalah menunjukkan sifat ‘ad-dawan wal istimrar’, bahawa orang-orang mukmin sentiasa melazimi dan mengulang-ulang taubat pada dirinya.

Rasulullah SAW dan para sahabat RA yang telah ditarbiyyah oleh baginda menggambarkan kepada kita contoh terbaik berkenaan sifat taubat ini. Di dalam hadith-hadith banyak diriwayatkan bahawa Baginda SAW sentiasa mengulang-ulang istighfar dan taubatnya, sedangkan Baginda SAW seorang yang ma’sum dan terpelihara dari melakukan dosa, dan diri Baginda telah dijamin syurga dan diharamkan dari dijamah api neraka. Apatah lagi kita, manusia yang mudah terjerat dosa, dan lagi-lagi kita sedang berada di zaman fitnah berleluasa.

Ikhwah dan akhawat yang dikasihi sekalian,

Apa yang dizahirkan diri-diri kita di dalam dakwah dan tarbiyyah sebenarnya mencerminkan apakah hasil dakwah kita. Apa-apa yang kita tanam dan semai menggambarkan apa yang akan tumbuh dan dituai. Seandainya para dae’i tidak mendawami sifat ini, maka kita telah mendapatkan jawapannya bahawa hasil dakwah dan tarbiyyah kita adalah masyarakat yang juga tidak memiliki sifat taubat yang kita yakini bahawa ia adalah penawar kepada penyakit-penyakit ummah.

Dan kita seharusnya berasa beruntung dan bersyukur, Allah SWt dengan keluasan kasih sayangnya mengurniakan kepada kita kesempatan untuk berada dan berjumpa kekasih kita, bulan Ramadhan. Awalnya merupakan rahmat dan kasih sayang Allah, pertengahannya maghfirah dan keampunan daripada gunungan dosa-dosa yang membelenggu, dan penghujungnya adalah pembebasan dari rantaian api neraka. Peluang yang hadir dan keberuntungan dipilih berjumpa bulan kebaikan ini seharusnya tidak kita sia-siakan. Di antara berjuta-juta ummah, sebahagiannya telah Allah tarik nikmat untuk terus berjumpa Ramadhan dalam keadaan sihat, tetapi kita telah ditentukan untuk merasai nikmat ini, menguji sama ada kita meninggalkan Ramadhan dalam keadaan untung dan berjaya ataupun gagal dan merugi.

Ikhwatiy al-Mahbubin,

Ramadhan masih berbaki, masih belum terlambat untuk kita menyucikan diri kita dari noda-noda dosa. Sentiasalah berdoa dan mengharap rahmat Allah SWT. Qadar Allah SWT menentukan bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengubah kita selagi kita sendiri tidak ingin mengubah diri kita. Dan akhirnya, agar Islam kembali tertegak di muka bumi, dan ummah kembali gemilang dengan sifat taubah ini, mengimarahkan dunia di bawah rahmat Allah SWT.

Ya Allah, dengan keberkatan bulan Ramadhan yang penuh barakah ini, jadikanlah kami sebahagian daripada “at-Taa’ibun” yang dikurniakan kegembiraan kerana beriman kepadaMu…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: