Fokus Khas: Perutusan Aidil Fitri Presiden ISMA

PERUTUSAN AIDILFITRI PRESIDEN ISMA

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Eidil Fitri kepada ahli-ahli, rakan-rakan ISMA dan semua kaum muslimin dan muslimat yang membaca perutusan ini.

Pertamanya marilah kita merakamkan jutaan kesyukuran kerana dipanjangkan usia dan diberikan kesihatan sehingga dapat menyelesaikan ibadah puasa Ramadhan pada tahun ini. Mudah-mudahan Allah menerima ibadah kita dan memanjangkan usia kita ke Ramadhan akan datang. Wa kullu am wa antum bikhair.

Yakinlah bahawa Allah menjadikan penegak kepada pembangunan umat ini terkandung dalam intipati penghayatan terhadap agama Islam itu sendiri. Dengan kata lain, Allah menjadikan dalam din-Nya ini unsur-unsur dan perkakasan yang jika diperkasakan akan memberikan kekuatan kepada penganutnya. Meskipun umat Islam telah melalui berbagai dugaan, peperangan, pemusnahan, kejatuhan, kemunduran, fitnah dan sebagainya, namun ia tetap mampu bertahan dan masih dikira sebuah umat yang terunggul.

Ini adalah kerana hikmah Allah yang menjadikan survival umat ini ada pada ajaran agamanya. Selama umat Islam beramal dengan sungguh-sungguh dengan agama Islam, selama itu mereka tidak akan dikalahkan. “Sesungguhnya Kami yang menurunkan peringatan dan Kamilah yang akan memeliharanya” (al-Hijr: 9). Mungkin mereka lemah oleh perpecahan dan hilang kepimpinan, namun lambat laun mereka akan kembali berkuasa bila diberi peluang untuk bersatu dan dikurniakan pemimpin rabbani.

Saya ingin menegaskan kepada ahli, rakan dan umat Islam bahawa inilah fikrah dan keyakinan ISMA. Kekuatan umat ini akan dapat dikembalikan apabila kita dapat mendidik mereka dengan wasilah atau wahana kekuatan yang menjadi tiang agama ini sendiri. Inilah manhaj dakwah kita dan inilah seruan kita yang sangat jelas…Satu-satunya cara untuk mengembalikan kekuatan dan kekuasaan umat Islam ialah dengan mengembalikan mereka kepada Islam dan mendidik mereka dengan berbagai wasilah kekuatan yang ada di dalamnya.

Ramadhan adalah bulan pendidikan yang penuh dengan wasilah yang memberikan kekuatan kepada umat Islam di peringkat individu dan juga umat. Ramadhan mendekatkan muslim dengan Allah, mentelaah dustur atau perlembagaan hidupnya (al-Quran) melalui tadarus, membentuk jiwa yang berdisiplin dengan disiplin syarak melalui puasa dan iltizam dengan adab-adabnya, memupuk rasa keprihatinan dan kasih sayang sesama muslim melalui sedekah dan zakat fitrah dan begitulah seterusnya.

Saya berharap ahli-ahli ISMA dan umat Islam di seluruh negara telah mengambil kesempatan yang maksima menimba bekalan untuk menyambung perjuangan mengembalikan kehidupan Islam dalam realiti. Saya juga berharap Ramadhan juga telah memberikan umat ini kekuatan untuk berdepan dengan serangan ganas musuh Islam yang tidak putus-putus. Saya yakin selama mereka berpegang dengan ajaran Islam mereka tidak akan dapat dikalahkan.

Saya juga ingin tegaskan bahawa jalan perjuangan kita sangat jelas. Perjuangan mengembalikan penghayatan Islam dalam realiti kehidupan sehingga ia menjadi satu kekuatan tamadun yang berdaulat. Islam adalah agama yang sudah lengkap. Kita tidak perlu mencari jalan yang lain daripada Islam. Dalam perjuangan ini, tiada apa yang perlu kita tokok tambah. Tugas kita ialah menampilkan qudwah dan kepemimpinan kepada masyarakat dalam menghayati Islam yang sebenarnya dalam seluruh bidang kehidupan.

Islam adalah ibadah, akhlak dan kebajikan. Islam adalah amar makruf nahi mungkar. Islam adalah kasih sayang, Islam adalah jundiyyah (keperwiraan terpimpin). Islam adalah persaudaraan. Islam adalah kekeluargaan. Islam adalah ketangkasan pemuda. Islam adalah khusyuk dan warak. Islam adalah kecerdasan jasmani, rohani dan mental. Islam adalah keusahawanan. Islam adalah pengabdian dan hubungan dengan Allah. Dan seterusnya lagi…

Saya juga ingin memperingatkan saudara/i semua berkenaan adab-adab menyambut raya. Hari Raya adalah hari kebesaran umat Islam iaitu hari di mana kita menyuci dan membesarkan Allah atas hidayah dan taufik-Nya yang memberikan kita kemenangan sepanjang Ramadhan untuk melawan nafsu dan dorongan syaitan. Allah Maha Besar. Tiada tipu daya yang lebih dahsyat berbanding mengabaikan pengertian ini. Oleh itu janganlah kita terikut-ikut dengan amalan orang yang jahil dalam masyarakat kita yang menjadikan Hari Raya sebagai perayaan syaitan dan hawa nafsu. Segala perkara yang tidak boleh dilakukan sepanjang Ramadhan dilakukan pada Hari Raya ini. Hari syaitan terlepas dari belenggu dan nafsu bolos dari kekangan.

Saya juga ingin ingatkan supaya saudara/i berhati-hati semasa memandu. Setiap tahun sambutan raya mengemukakan ribuan korban manusia hasil sikap jahil, tidak sabar dan tidak bertolak ansur kita sesama pengguna jalan raya. Islam agama yang menggesa kita agar bersikap sopan dan menghormati orang lain. Di samping itu janganlah bergopoh gapah dan tidak berdisiplin kerana mahu cepat sampai ke destinasi. Tidak banyak bezanya..lebih baik lambat, berbanding pulang dengan berlumuran darah atau menyambut raya di hospital atau kehilangan orang yang diraikan…fikirlah masak-masak.

Selain itu, raya kita tahun ini disambut dalam keadaan bala inflasi yang semakin tinggi, kuasa membeli semakin rendah dan harga barang semakin tinggi. Oleh itu berpada-padalah dalam berbelanja. Masing-masing ukur kemampuan sendiri. Janganlah sampai kita terpaksa berhutang yang akan membawa penyesalan pada kemudian hari. Marilah kita sama-sama berdoa agar kita diselamatkan daripada wabak, bala dan inflasi..

Akhirnya marilah kita tidak melupai saudara-saudara kita yang berada dalam kesusahan di mana jua mereka berada terutama di Palestin, Iraq, Kasymir, Chenchnya, Bosnia, Filipina, selatan Thai, Kemboja dan di mana sahaja mereka mereka berada. Tidak lupa kepada ikhwan dan saudara perjuangan Islam yang dipenjara dan dizalimi seperti di Mesir dan dibuang negara seperti di Tunis.

Allahumma farrij karba al makrubin, wa fakki asra al-ma`surin. Allahumma unsur al-mujahidin wa qawwi ‘aza`imahum wa tsabbit aqdamahum, wa saddid ramyahum…wa unsurhum ala a’da`ihim.
Presiden ISMA
Abdullah Zaik Abd Rahman
Presiden
Ikatan Muslimin Malaysia
http://ustabdullahzaik.wordpress.com/

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: