Semasa: Sesi Kuliah Bermula

Al-Azhar

Ke hadapan sidang pembaca, siswa dan siswi yang dikasihi sekalian, semoga kalian semua berada dalam lindungan Allah sentiasa hendaknya.

Kuliah kita semua telah pun bermula, baik bagi mahasiswa perubatan mahupun mahasiswa dirasat. Oleh itu, tentunya ada persiapan yang perlu kita lakukan dalam rangka untuk mencapai sasaran kita sebagai seorang Muslim pelajar di bumi anbiya’ dan bumi dakwah ini.

Sahabat siswa dan siswi,

Di dalam perkongsian ringkas ini, kami merasakan bahawa persiapan yang kita perlu lakukan adalah penerapan semula nilai-nilai dan suluk seorang Muslim pelajar yang mungkin masih segar ataupun amat malang jika semakin pudar dalam diri kita setelah lama bercuti.

Apa ya nilai-nilai dan suluk ini? Pada pendapat kami, ia terlalu banyak dan bervariasi dari seorang ke seorang yang lain. Namun di sini, kami akan cuba berkongsi sebahagian dari suluk ini yang kami rasakan antara nilai-nilai asas yang penting untuk dikongsi bersama.

Pelajar siswa dan siswi yang dihormati,

Tentunya yang paling awal seseorang itu akan letakkan sebelum melakukan sesuatu adalah niat.. Ya, niat yang ikhlas keranaNya semata-mata. Niat yang sebagaimana kalian lebih tahu dari kami… iaitu niat bahawa apa yang kita cari daripada studi yang jerih di Mesir ini adalah semata-mata kerana ingin menjadikannya salah satu wasilah untuk berkhidmat untuk Islam dan ummah dalam setiap lapangan yang ada, demi memburu redha Allah SWT semata-mata. Kerana apa? Kerana tiada dalam kehidupan kita ini sesuatu yang lebih mahal dan mulia daripada beramal dan berkhidmat untuk Islam yang tercinta ini. InsyaAllah, andai ‘lulus’ niat kita ini, langkah-langkah kita seterusnya akan berjalan dengan kemas di atas landasan yang betul.

Bertitik tolak dari niat yang suci itu tadi (segala perbuatan bertitik tolak dari niat), semangat dan keinginan yang tinggi untuk menjadi cemerlang menjadi suluk yang kedua untuk dikongsikan pada kali ini. Sebagai seorang Muslim pelajar, pencapaian atau target studi kita di universiti tidak seharusnya berpada dengan setakat lulus sahaja. Marilah kita berusaha dengan istiqamah untuk cemerlang sehingga kita menjadi contoh kepada pelajar-pelajar yang lain di segenap bidang dan apa jua lapangan sama ada di tanah air mahupun di seluruh dunia, sehingga apabila masing-masing orang tertanya-tanya tentang faktor kecemerlangan dirinya, maka jawablah orang-orang lain di sekitarnya, “Sesungguhnya si fulan itu menjaga solat-solat fardhunya pada setiap waktu, iltizam dengan urusan agama dan imannya, baik lagi terpuji akhlaknya, pandai mengurus waktu, tekun mengulangkaji pelajaran, bahkan tinggi keinginannya untuk berjaya…” Sesungguhnya memang bukanlah pandangan manusia itu yang menjadi sasaran setiap usaha dan jerih kita, akan tapi bukankah peribadi yang baik dan cemerlang itu lebih dekat dan hampir kepada peribadi insan agung contoh teladan kita semua iaitu baginda Rasulullah SAW? Dan kejayaan kita menjadi satu wasilah untuk memudahkan kita menghampiri manusia di dalam menyempurnakan tanggungjawab dakwah kita? Akan tetapi, kita harus sentiasa ingat dan berwaspada bahawa hanya semangat semata tidaklah memadai, ia perlu disertakan dengan usaha yang berterusan. Renungilah firman Allah, maksudnya:

“Dan persiapkanlah untuk menentang mereka (musuh) segala jenis kekuatan yang mampu kamu sediakan dari kekuatan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, agar dengan persiapan itu gerunlah musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kamu.” (Al-Anfal : 60)

Kalimah ‘quwwah’ (kekuatan) itu di’nakirah’kan oleh Allah, kerana di situlah terletaknya hikmah ilahiyyah yang ingin menyatakan kepada kita bahawa kekuatan yang perlu kita sediakan adalah bersifat subjektif bahkan syumul (sesuai dengan terjemahan Bahasa Malaysia di atas), bukan semata-mata kekuatan kelengkapan perang. Melangkau lebih jauh di dalam memahami ayat ini, ia sebenarnya adalah kekuatan yang merangkumi maknawi yang cukup luas, ia adalah kekuatan jasad dan tubuh badan, kekuatan aqidah dan iman, kekuatan kelengkapan persenjataan, kekuatan ilmu dan thaqafah, dan sebagainya.

Cuba kita kaitkan pula makna ayat tadi dengan mengulangkaji pelajaran? Bukankah mengulangkaji itu salah satu wasilah untuk kita menyediakan kekuatan ilmu dan thaqafah?Anda seharusnya juga tidak lupa untuk memerhatikan situasi di mana kalimah ‘persiapkan’ di dalam ayat tadi digunakan. Situasi itu adalah situasi perang. Cuba kita bayangkan, bagaimanakah seharusnya persiapan untuk menghadapi sebuah peperangan? Ia adalah sebuah persiapan yang berterusan sehinggalah peperangan itu berakhir dari sebarang pertempuran, atau lebih tepat lagi, sehingga tiada lagi perang yang akan berlaku di dunia ini. Begitu juga dalam kehidupan seorang pelajar, ulangkajinya mesti berterusan sehinggalah tiba saat ‘tempur-perang’nya. Contoh tadi adalah contoh biasa bagi seorang pelajar biasa, bagaimanakah seharusnya pula bagi seorang pelajar Muslim yang cintakan agamanya? Sudah tentu dia memandang, menilai dan merasakan bahawa ulangkajinya yang istiqamah ini adalah sesuatu perkara yang lebih besar dari itu dan sangat penting. Ia bukanlah sekadar persiapan menghadapi pertarungan peperiksaan yang kecil, lebih dari itu ia adalah persiapan menghadapi perang pertembungan di antara al-haq kebenaran dan kebatilan yang tidak akan berhenti pertembungannya sehinggalah tibanya ‘kehendak’ Allah memutuskan di antara keduanya.

Sahabat pelajar yang dikasihi,

Antara sikap asasi lain bagi seorang pelajar muslimclass-bamim.jpg adalah menjaga ibadahnya,’ammah dan khususiyyahnya, serta menjaga iltizamnya dengan perintah Allah SWT, atau dalam erti kata lain menjaga hubungan peribadinya dengan Allah SWT. Sikap ini amat penting sekali sebagaimana yang kita sama-sama arif bahawa ia adalah kunci utama ke atas kekuatan kita untuk terus istiqamah berusaha menjadi seorang pelajar yang cemerlang di sudut ilmiah dan ruhiahnya.Selain itu, kita juga hendaklah sentiasa ingat bahawa menjaga hubungan dengan Allah juga merangkumi kita menjaga hubungan sesama manusia di dalam urusan-urusan kita. Oleh itu, hendaklah kita sentiasa memperbaiki hubungan kita antara satu sama lain. Yang paling utama antara manusia itu adalah kedua ibu bapa kita sendiri.Sangat-sangat penting, gembirakan mereka dengan kerap menghubungi mereka untuk bertanya khabar dan sebagainya, gembirakan mereka dengan menjaga pelajaran kita, gembirakan mereka dengan menjaga amanah mereka kepada kita. Selain ibu bapa kita, rakan-rakan juga hendaklah sentiasa diraikan. Andai tidak mampu ithar kepada mereka, cubalah untuk sekurang-kurangnya berlapang dada terhadap mereka. Jangan sekali kita memperlecehkan apatah lagi memburukkan mereka di belakang lantaran perbezaan pendapat yang mungkin wujud. Jangan wahai sahabat-sahabatku sekalian, malah tunjukkanlah keterbukaan yang Islam ajar kepada kita, tunjukkanlah perasaan kasih sayang kita kepada mereka dan sentiasalah berihsan kepada mereka sekalipun kita tidak menerima yang sedemikian dari mereka, kerana yang demikian itu lebih dekat dengan keredhaan Allah dan lebih bermanfaat kepada kesatuan ummah. Sesungguhnya dengan menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia merupakan kekuatan yang menakjubkan untuk kita terus istiqamah berusaha untuk menjadi pelajar Muslim mithali yang cemerlang.

Sahabat-sahabat sekalian,

Satu lagi sikap yang amat penting bagi kita semua adalah perancangan masa yang baik. Amat penting kerana dengan perancangan masa sahajalah kita dapat injaz (accomplish) sasaran-sasaran kita. Sebagai pemuda dan pemudi, kita perlu sentiasa ingat bahawa inilah dia satu-satunya fatrah (tempoh masa) untuk kita garap dan dapatkan apa sahaja kebaikan yang boleh dicapai di dunia yang sementara ini. Kita bertuah kerana dapat menumpang teduh di bumi anbiya’ ini. Sudah tentu banyak perkara yang perlu kita sasarkan. Amatlah rugi jika kita pulang ke tanah air nanti dan kita tidak dapat mengumpul sebanyak-banyak mutiara-mutiara hikmah dan kebaikan dari bumi Mesir ini.

Marilah kita sama-sama renungi, bahawa satu hari nanti apabila sudah berumur atau apatah lagi jika usia menjangkau 80 tahun, kita pasti akan menyesal jika kita tidak sempat menyempurnakan cita-cita peribadi kita untuk agama yang tercinta ini. Jadi, marilah sama-sama dengan optimum kita kutip seberapa banyak mutirara yang ada di bumi yang tidak pernah kenal mentaqdis manusia ini, agar dengan itu dapat kita berbakti kepada masyarakat satu hari nanti sebagai seorang dai’ yang lebih bersedia. Namun, satu perkara yang mesti kita perhatikan dengan teliti bahawa seharusnya masa dan jadual kita disusun dengan seimbang dari segi pengisian berbentuk duniawi dan ukhrawi, atau dengan kata lain hendaklah ia selari dengan tuntutan dakwah al-Islamiah al-wasatiyyah yang kita imani ini.

Akhirnya diharap sedikit coretan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita bersama. Semoga Allah SWT mengampunkan kesalahan-kesalahan yang mungkin ada sepanjang coretan ini. Marilah sama-sama kita berlindung denganNya daripada termasuk di kalangan mereka yang mengatakan apa yang tidak mereka lakukan. Sesungguhnya Dialah ALLAH, Tuhan yang menjadi Wali bagi setiap daripada kita semua, dan yang Maha berkuasa di atas setiap sesuatu.

Wallahua’lam…

6 Responses

  1. salam mahabbah diucapkan kpd semua pelajar yang baru sahaja melangkah ke alam kampus Al-Azhar mahupun Perubatan…kejayaan anda semua,adalah kejayaan ummah ini.

  2. insya allah..doakan kejayaan semua abnaul azhar… doakan generasi ikhwah tahun ni boleh pecahkan rekod dapat darajah aam MUMTAz di Kaherah, Tanta, Zaqaziq, Mansurah, Dumyat…. Amin..

    ” BUKANLAH PEMUDA ITU SIAPA YANG BERKATA BEGINILAH AYAHKU TAPI PEMUDA ITU SIAPA YANG BERKATA LIHATLAH DIRIKU INILAH AKU”

  3. tahniah semua,

    moga boleh bertemu dengan ahli-ahli isma mesir nanti

  4. Kullu Am Wa Antum Bi Khair. Selamat kembali ke kuliah semula diucapkan kepada semua warga Malaysia yang sedang menuntut di Bumi Nil. Semoga antum semua diberi kekuatan oleh Allah untuk menggalas amanah ilmu dan kecemerlangan dalam segenap bidang demi survival ummah. Ingat kata2 ini: “Al Fatratu ba`dal Mujahadah min Fasad al Ibtida`”. Teruskan perjuangan. Terapkan budaya ilmu dan kecemerlangan.

  5. Sukar untuk mengubah sikap seorang walaupun ditegur (kata-kata) oleh seribu orang..lebih berkesan untuk mengubah sikap seribu orang dengan qudwah seseorang..

    Allahu Ma’ana.

  6. Bittaufiq wannajah fil imtihan……….,fi umuriddin…….fiddunya
    wal AKHIRAH…AMIN

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: