Tazkirah: Hak-Hak Persaudaraan Dalam Islam

Persaudaraan di dalam Islam bukanlah di antara perkara-perkara sunat bahkan ia merupakan asas dan aqidah yang kukuh di dalam jiwa seseorang kerana Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud:

“Seseorang Muslim itu adalah saudara Muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya (kepada musuh), barangsiapa yang menunaikan hajat saudaranya nescaya Allah akan menunaikan hajatnya, dan barangsiapa yang menghilangkan daripada seorang Muslim satu kesusahan nescaya Allah akan menghilangkan satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat kelak, dan barangsiapa yang menyembunyikan (keaiban) seorang muslim nescaya Allah akan menyembunyikan (keaibannya) pada hari kiamat.” – Riwayat Bukhori dan Muslim

Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah R.A. berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada enam: Apabila engkau bertemu dengannya maka berilah salam padanya, dan jika dia menyerumu maka sahutlah seruannya, dan jika dia meminta nasihat daripadamu maka berilah nasihat kepadanya, dan jika dia bersin lalu memuji Allah maka doakanlah dia, dan jika dia sakit maka ziarahilah dia, dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya.

Daripada Anas Bin Malik R.A.: Empat perkara yang tergolong di antara hak-hak yang perlu engkau tunaikan ke atas orang-orang muslim: Menolong orang yang berbuat baik dikalangan mereka, meminta ampun untuk orang yang melakukan dosa dikalangan mereka, mendoakan mereka yang telah mati, menerima orang yang bertaubat dikalangan mereka.

Sebahagian salafussoleh pernah menyebutkan hak-hak Ukhuwah itu ialah: Hak pada harta, jiwa, lidah, dan hati dengan memaafkan dan mendoakannya serta ikhlas dan setia terhadapnya, dan hak yang tertinggi ialah mengutamakannya.

Terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan prestasi persaudaraan kerana Allah:

  1. Cinta semata-mata kerana Allah: Kerana tidak ada kepentingan duniawi di sebaliknya. Allah berfirman di dalam hadis qudsi: Orang-orang yang berkasih sayang kerana keagunganku bagi mereka mimbar-mimbar daripada cahaya, mereka dicemburui oleh para nabi dan orang-orang yang mati syahid (syuhada’).
  2. Berlapang dada: Ia adalah cara yang sangat berguna supaya dapat menerima apa yang dilakukan oleh orang lain tanpa rasa dengki, benci, berniat jahat atau buruk sangka. Begitu juga, supaya kita mampu bersangka baik terhadap saudara-saudara kita. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: Janganlah kamu saling memutuskan hubungan, saling belakang membelakangi, saling benci membenci serta saling berdengki, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara, tidak halal bagi seorang muslim untuk tidak bertegur sapa dengan saudaranya lebih daripada tiga (hari).
  3. Saling nasihat menasihati dan berpesan-pesan: Sesungguhnya seorang Muslim itu tidak melalui jalan yang aman, akan tetapi dia menempuhi jalan yang penuh dengan kesusahan, liku-liku, halangan dan tipudaya. Selain itu, syaitan manusia dan jin sentiasa menggangu dan menggodanya. Justeru, di dalam menempuhi jalan tersebut, dia sangat memerlukan teman yang mendidik, membimbing, menasihat dan mengingatkannya ketika terlupa dan membantunya ketika ingat. Benarlah firman Allah S.W.T. : “Demi masa. Sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali mereka yang beriman, beramal soleh, dan berpesan-pesan pada kebenaran jua berpesan-pesan pada kesabaran.”

    Namun begitu, kita perlu menitik beratkan beberapa adab di dalam memberi nasihat dan pesanan:

    • Memberi nasihat dalam keadaan tersembunyi dan bukan di khalayak ramai.
    • Berhikmah (sesuai dengan keadaan) dan menggunakan kata-kata yang baik.
    • Berlemah lembut di dalam memberikan nasihat.
  4. Mengetahui kebaikan dan kelebihan saudara kita: Allah berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu lupa kebaikan di antara kamu.” (Al-Baqarah). Seseorang itu akan mampu menyayangi, menerima dan mematuhi seseorang yang lain dengan mengetahui kelebihan dan kebaikan yang terdapat padanya.
  5. Berterus terang: Kerana ia mampu menghilangkan perasaan-perasaan yang boleh mengeruhkan ikatan ukhuwwah dengan syarat ia dilakukan dengan adab-adabnya dan cara yang betul. Justeru, seorang Muslim seharusnya berterus terang dengan saudaranya tentang apa yang terdapat di dalam hatinya kerana mungkin dengan cara itu dia dapat menyembuhkan keresahan hatinya yang pasti akan memberi kesan kepada kelapangan dadanya.

    Kita seharusnya mengambil pengajaran tentang perkara tersebut daripada sirah Baginda Rasulullah S.A.W. dan sahabat-sahabatnya. Semasa Bai’ah Aqabah yang kedua, Abu Haisam bin Attihan berterus terang serta meminta pandangan daripada Rasulullah tentang sesuatu yang berlegar di fikirannya lalu dia berkata: Wahai Rasulallah, sesungguhnya kami mempunyai hubungan sebelum ini dengan orang-orang Yahudi dan kami akan memutuskannya. Justeru, jika kami melakukan sedemikian, kemudian Allah mengurniakan kemenangan kepadamu maka adakah engkau akan meninggalkan kami? Lalu Nabi S.A.W. menjawab sambil tersenyum: Bahkan darah, darah dan kebinasaan, kebinasaan (bagi orang-orang Yahudi). Aku adalah di kalanganmu dan kamu semua adalah di kalanganku, aku memusuhi sesiapa yang kamu musuhi dan tidak akan memusuhi sesiapa yang kamu tidak musuhi.”

  6. Bertolak ansur dan berlemah lembut: Ia seharusnya menjadi akhlak seorang pejuang Islam walaupun terhadap orang yang menzaliminya. Justeru, bagaimana pula dengan teman-teman seperjuangan kita?

Akhirnya, marilah kita sama sama mempraktikkan segala apa yang telah kita ketahui dan merealisasikan ukhuwah islamiah yang sebenar sepertimana yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat-sahabat Baginda S.A.W. kerana ia adalah satu-satunya punca kekuatan umat Islam untuk menghadapi musuh-musuh mereka yang pada luarannya nampak seolah-olah mereka bersatu tetapi hakikatnya mereka berpecah belah sepertimana yang dikhabarkan oleh Allah S.W.T. di dalam surah Al-Hasyr, ayat ke 14: “Kamu menyangka mereka bersatu padahal hati-hati mereka berpecah belah, itu kerana mereka adalah kaum yang tidak berakal.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: