Isu Semasa: Nakbah, Malapetaka Panjang buat Umat

Nakbah! Suatu istilah yang mungkin cukup asing bagi sesetengah dari kita, terutama mereka yang bahasa pertuturan seharian bukan bahasa Al-Quran yang mulia. Berlainan bagi warga mahasiswa di bumi Mesir, istilah ini pastinya punya makna yang cukup menggerunkan- malapetaka! Ya, itulah makna istilah ini jika ditafsirkan dari sudut bahasa. Lebih dari itu, bagi umat Islam yang begitu prihatin dengan isu paling kritikal umat Islam lewat abad ini; Palestin, istilah ini memberi makna yang lebih dari sekadar malapetaka.

Tanggal 15hb Mei 1948 merupakan suatu titik mula sebuah penghinaan, derita dan malapetaka panjang bagi dunia Arab dan Islam secara keseluruhannya. Pada tanggal inilah, tercetusnya Nakbah Palestin iaitulah tertubuhnya secara rasmi Negara Haram Israel oleh Yahudi-Zionis. Dan bermula dari detik itulah, saudara satu aqidah kita, penduduk asal bumi Palestin semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan. Bayangkanlah wahai sahabat, mereka bukan sahaja kehilangan sebahagian besar tanahair tercinta, maruah mereka diceroboh, kesucian muslimah dinodai dan anak kecil yang belum mengerti apa-apa turut tidak terlepas dari kebinatangan sang zionis kejam!

Sahabat yang punya iman,
Sedarlah, musuh sudah lama merancang dan bertindak. Idea penubuhan kerajaan haram zionis yahudi ini sebenarnya sudah dirancang berpuluh tahun sebelum peristiwa malang Nakbah Palestin. Theodore Hertzl, seorang wartawan Hungary berbangsa yahudi, juga pengasas kepada gerakan Zionis merupakan pencetus kepada idea laknat ini yang kemudiannya dibukukan di dalam Die Judem Stat (Negara Israel) pada 1896. Idea ini kemudiannya dibentangkan oleh Hertzl melalui persidangan pertama Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) di Basel, Switzerland pada 27 hingga 29hb Ogos 1897. Resolusi daripada persidangan inilah kemudiannya yang membuka suatu era baru dalam percaturan politik dunia seluruhnya yang secara jelas memihak kepada Yahudi-Zionis, seterusnya membawa kepada tertubuhnya Negara Haram Yahudi di tanah suci Palestin.

Kesan langsung daripada penubuhan Negara Haram Israel ini, daripada jumlah 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan lebih 478 buah kampung serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Antara yang paling kejam ialah tragedi Deir Yassin pada 9hb April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang-orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak. Petugas Palang Merah dan PBB sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak. Dalam serangan itu, wanita-wanita yang hamil telah dibelah perutnya dan dikeluarkan janin dan bayi hidup-hidup dari rahim ibunya. 52 orang kanak-kanak pula telah disiksa di depan ibu bapa mereka, lalu mereka dibunuh dan dipenggal kepalanya.

Rentetan daripada Nakbah 1948 ini jugalah, tercetusnya malapetaka kedua umat Islam, malapetaka yang jauh lebih dahsyat; Naksah 1967. Naksah dari sudut bahasa memberi makna kekalahan iaitulah merujuk kepada kekalahan lima Negara Arab yang bersatu untuk menentang pendatang haram rejim Yahudi-Zionis. Rejim Zionis hanya mengambil masa enam hari (5 hingga 11 Jun 1967) untuk mengalahkan pakatan lima negara Arab, kekalahan ini membuka ruang seluas-luasnya kepada rejim Zionis untuk menguasai baki tanah Palestin yang sepatutnya menjadi hakmilik rakyat Palestin berdasarkan resolusi 181 Liga Bangsa-Bangsa (League of Nations) termasuklah Jalur Gaza dan Tebing Barat. Semenanjung Sinai milik Mesir dan Bukit Golan milik Syria juga telah berjaya ditawan oleh Israel.

Lebih menyedihkan lagi, kota suci Baitul Maqdis dan juga masjid ketiga suci umat Islam, Masjid alAqsa berjaya ditawan oleh Israel. Kerajaan Israel kemudiannya telah menukarkan tembok barat masjid menjadi “Kotel” ataupun tembok meratap mereka. Sehingga hari ini, Israel masih lagi berkuasa penuh terhadap masjid al-Aqsa dan segala yang berkaitan dengannya. Kejayaan tersebut telah melengkapkan penguasaan kerajaan Israel ke atas tanah-tanah bersejarah yang pernah dihuni oleh nenek moyang mereka.

Beberapa hari lagi, tanggal 15hb Mei akan kembali tiba, bermakna sudah lebih 6 dekad peristiwa malang Nakbah Palestin berlaku, namun darah dan air mata Nakbah 1948 tidak pernah kering, bahkan terus mencurah. Penduduk asal tanah suci Palestin terus diburui kesengsaraan, penderitaan dan kepedihan yang dirasai saban hari. Rumah-rumah diroboh, kebun-kebun dibakar dan penempatan haram Yahudi semakin banyak dibina. Di saat kalian membaca artikel ini, mungkin di sana seorang lagi saudara kita syahid di tangan laknat mereka, mungkin seorang lagi muslimah dinodai kesuciannya, mungkin seorang lagi anak kecil menjadi korban kegilaan mereka atau mungkin lebih dari seorang!

Apa peranan kita?

Setiap inci bumi Palestin adalah tanah yang mulia untuk seluruh umat Islam kerana di situlah letaknya Masjid Al Aqsa yang merupakan qiblat pertama umat, tempat berlakunya peristiwa Isra dan Mi’raj, Tanah Suci umat Islam yang ke tiga yang juga merupakan bumi para Nabi. Justeru, suatu yang seharusnya kita sama-sama fahami bahawa isu Palestin bukanlah sekadar isu untuk orang-orang Palestin atau orang-orang Arab sahaja. Isu ini bukanlah sekadar isu kemanusian. Bahkan isu ini adalah isu penting yang mempunyai kaitan yang cukup rapat dengan keimanan untuk semua umat Islam di seluruh dunia.

Sebenarnya, masih ramai di luar sana, mereka yang belum mengetahui tentang isu ini. Kalian bertuah, diberi peluang oleh Allah untuk mengambil berat isu saudara seaqidah kita. Sampaikanlah isu ini kepada seramai mungkin sahabat di luar sana. Teruskan memberikan sumbangan yang bukan lagi sekadar sedekah tetapi lebih kepada tuntutan! Patahkan ekonomi Yahudi-Zionis dengan tidak membeli barangan yang jelas menyumbang kepada usaha laknat mereka. Dan berdoalah kerana doa merupakan senjata umat Islam yang paling ampuh dan selama-lamanya tidak akan tergugat selagimana iman dan islam bersama kita.

Tanya diri masing-masing, sudahkah kita bersedia untuk berhujah di hadapan Allah (swt) tentang peranan yang mungkin telah kita abaikan dalam menangani isu ini. Masa belum terlambat namun sebenarnya sudah semakin suntuk untuk mereka dan untuk kita!

3 Responses

  1. Ya Allah!Bebaskanlah Masjdil Aqsa dari tangan2 kotor penjajah yahudi dan kembalikanlah ia ke genggaman muslimin dan jadikanlah kami di kalangan pembebasnya..Amin

  2. assalamualaikum warahmtullah wabarakatuh
    buat teman2 seiman dan seaqidah..
    sama2lah kita memperbanyakkan solat malam…memperluaskan doa munajat..
    memboikot sebanyak mungkin barangan musuh2 yang melapah daging2 saudara2 seaqidah kita
    meluaskan perkongsian maklumat dengan teman2 yang tidur…
    sama2lah kita mengikut jejak langkah si burung kecil yang berusaha memadamkan api yang membakar nabi ibrahim a.s.
    walaupun sedikit cuma..

  3. ayuh..sama2 bangkit bangun berjuang dan bekerja untuk islam sehingga ke titisan darah terakhir!!!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: