Aktiviti


Program Kembara Sainaa’ 08 (Siswa)

8 Februari, Kaherah – Bersempena cuti fasa pertama pengajian kebanyakan pelajar Malaysia di Mesir, pihak ISMA Mesir telah menganjurkan Program Kembara Sainaa’ 08, bermula pagi semalam. Di antara objektif program kembara ini pada tahun ini adalah :

1. Menziarahi dan mengenali tempat-tempat yang bersejarah terutamanya yang berkaitan dengan Sejarah Islam

2. Menambah pengetahuan tentang dunia Islam

3. Mengambil iktibar dari tempat-tempat yang dilawati dan menanam semangat untuk mendalami Sejarah-sejarah Islam

4. Menanamkan semangat setiakawan dan memupuk ukhuwwah Islamiyyah di kalangan peserta

Program kembara ke Semenanjung Sainaa’ kali ini yang merupakan kali kedua dianjurkan oleh ISMA Mesir telah disertai seramai 50 orang peserta dari berbagai latar belakang, melibatkan pelajar-pelajar dari pelbagai bidang pengajian, pelbagai negeri asal di Malaysia, dan pelajar-pelajar dari pelbagai Muhafazah di Mesir. Para peserta mula berkumpul di perkarangan Pejabat ISMA Mesir di Hayyu Ashir sejak jam 6.30 pagi hingga ke jam 7.30 pagi. Walaupun sebelum memulakan perjalanan, pihak penganjur mengalami sedikit kesulitan berikutan jumlah peserta yang mendaftar melebihi kuota yang telah ditetapkan pihak pemandu bas, akhirnya perjalanan dapat dimulakan pada jam 8.00 pagi.

Di dalam bas, program dimulakan dengan bacaan doa musafir, taklimat pengarah program dan taklimat umum program oleh Urusetia Disiplin & Etika. Tempoh lima jam perjalanan menuju ke destinasi pertama telah diisi dengan beberapa aktiviti antaranya kuiz pengetahuan am dan sesi suai kenal di antara peserta. Para peserta juga kelihatan begitu bersemangat ketika menyanyikan lagu tema program.

Destinasi pertama kembara adalah Taba, sebuah bandar pelancongan yang terletak di Utara Sinai, betul-betul di Sempadan Mesir-Israel, di penghujung Teluk Aqaba. Dalam perjalanan, bas yang membawa rombongan melalui Terowong Ahmed Hamdi yang melintasi Terusan Suez. Terowong sepanjang 1.8 km ini berada 20 meter ke bawah dari permukaan laut. Setibanya di Taba, perjalanan kembara dihentikan sebentar di Masjid Salam Taba untuk makan tengah hari serta menunaikan sembahyang jama’ Zuhur dan Asar. Selesai makan dan sembahyang, bas terus membawa para peserta menuju ke Kubu Salahuddin Al-Ayubi yang terletak di Pulau Fir’aun, Taba.

Dari Taba, perjalanan diteruskan menuju ke St Catherine, tempat di mana terletaknya Jabal Musa, aktiviti program di sini adalah mendaki gunung Tursina yang merupakan tempat di mana Musa (as) mendapat wahyu daripada Allah. Kira-kira dua jam sebelum tiba ke destinasi, perjalanan dihentikan sebentar di Nuweiba’ untuk makan malam dan sembahyang jama’ Maghrib-Isya’. Rombongan ISMA tiba di destinasi kedua kembara seawal jam 9 malam. Di sana, bas terus menuju ke kaki gunung dan para peserta diturunkan. Para peserta yang telah bersiap sedia dengan kelengkapan dan pakaian mendaki terpaksa menghabiskan masa menunggu setelah mendapat arahan daripada pihak keselamatan untuk menunggu kehadiran Badwi penunjuk jalan yang akan tiba pada jam 12.00 malam.

Walau bagaimanapun, masa yang ada tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja dan diisi dengan perkongsian setiap peserta tentang perasaan mereka sebelum mendaki serta menyempurnakan persiapan masing-masing. Lebih kurang jam 12 malam setelah kehadiran Badwi pengiring kumpulan kami, para peserta mula melakukan aktiviti regangan, dan pendakian dimulakan.

Pendakian pada kali ini agak mencabar kerana para peserta perlu berhadapan dengan cuaca dan suhu yang semakin rendah sepanjang pendakian. Cabaran utama adalah mental yang tewas kepada halangan-halangan kembara. Para peserta kali ini seharusnya dipuji kerana menunjukkan semangat mereka tidak mahu mengalah, semangat berpasukan dan setiakawan yang tinggi. Semua peserta berjaya tiba di puncak pada jam 5 pagi. Masa dihabiskan beberapa jam di atas puncak untuk menunaikan sembahyang Subuh, sarapan, melihat matahari terbit dan bergambar beramai-ramai, sebelum mendaki turun.

Dari Jabal Musa, rombongan ISMA menziarahi maqam Nabi Harun dan maqam Nabi Soleh, sebelum terus bertolak pulang ke Kaherah.

Perjalanan pulang berhenti rehat sebentar di Ra’su Sidr untuk makan tengah hari dan menunaikan sembahyang jama’ Zuhur dan Asar. Di dalam perjalanan pulang kembara sempat berhenti melawat salah satu daripada 36 Kubu Barlief-line milik Israel semasa menguasai Semenanjung Sainaa’ dan digunakan semasa berperang dengan Mesir serta negara-negara Arab lain untuk mempertahankan dan mengawal Terusan Suez.

Pada jam 5 petang, rombongan kembara selamat tiba di perkarangan Pejabat ISMA Mesir di Hayyu Ashir, Madinah Nasr. Secara umumnya, para peserta menunjukkan respon positif dan berpuas hati dengan program kembara pada kali ini. Sebahagian dari mereka mengatakan bahawa kembara yang disertai pada kali ini banyak memberikan pengajaran penting, terutama sekali di dalam memahami falsafah perjuangan agama-agama Samawi, para Nabi dan para Rasul.

Pihak ISMA Mesir berharap agar dapat mengemaskan lagi pengurusan serta pengendalian program dan dapat menganjurkan lagi program-program bermanfaat seumpama ini di masa-masa yang akan datang.



Lagi gambar >

 


Jamuan Hari Raya Aidiladha ISMA-Mesir 2007 (Siswi)

20 Disember, Mesir- Pada tanggal 11 Dzulhijah 2007, ISMA-Mesir telah mengadakan jamuan rumah terbuka (siswi) bagi Sambutan Hari Raya Aidil Adha. Majlis bermula pada pukul 1 petang diiringi dengan hujan renyai-renyai di luar. Sungguhpun begitu, tetamu-tetamu jemputan tetap hadir dengan wajah yang ceria.

Majlis dibuka dengan alunan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh ukhti Dewi Farah Ruhaida. Beliau membacakan Surah Al-An’aam dari ayat 1 hingga 11. Kemudian majlis diteruskan dengan tazkirah yang disampaikan oleh ukhti Raihanah. Beliau menceritakan kepada kami tentang pengorbanan Nabi Nuh (as) dalam menyebarkan agama Allah. Tazkirah beliau menyedarkan kami bahawa para nabi dan tokoh-tokoh terdahulu telah mengorbankan jiwa, harta dan seluruh kehidupan mereka untuk menyampaikan dakwah Islam, lalu apakah pengorbanan kita sebagai seorang muslim dalam menegakkan kalimah tauhid di muka bumi ini.

Majlis dihangatkan lagi dengan alunan takbir raya yang dipimpin oleh ukhti Fatimatuzzahra. Para jemputan dengan penuh bersemangat mengalunkan takbir memuji Ilahi. Kemudian, tibalah acara kemuncak yang dinanti-nantikan, para hadirin dihiburkan dengan persembahan nasyid yang mantap dan penuh bertenaga dari kumpulan Durrah. Semua tetamu terhibur mendengar lagu-lagu yang didendangkan.

Selepas itu, para tetamu dihidangkan dengan sajian yang lazat dan menyelerakan. Semua tetamu dijemput untuk menikmati jamuan sambil menonton persembahan ‘slide show’ yang ditayangkan. Kelihatan para petugas sangat sibuk melayan tetamu. Semua tetamu bersurai kira-kira jam 6 petang. Walaupun penat dan letih, kami semua berasa sangat gembira dan bersyukur kerana majlis berjalan dengan lancar serta kami semua dapat menambah kenalan yang sedia ada. Semoga usaha yang dilakukan ini mendapat berkat dan rahmat Allah (swt).


Program Ibadah Qurban ISMA-Mesir 2007

19 Disember, Kaherah – Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA)-Mesir buat kali pertama telah menganjurkan program ibadah korban sempena Hari Raya Aidil Adha pada tahun ini. Program tersebut telah dilaksanakan selepas sembahyang solat sunat raya di perkarangan pejabat ISMA-Mesir dan sebanyak 13 ekor kambing khoruf telah dikorbankan. Semua ahli ISMA dan sukarelawan telah bersama-sama membantu kerja-kerja bagi melicinkan lagi program.

Program yang bermula tepat jam 9 pagi itu bertujuan untuk menanam sifat suka berkorban di kalangan mahasiswa dan merapatkan lagi persaudaraan Islam yang sedia terjalin. Selain itu, ini juga peluang untuk membina pengalaman menguruskan program korban seperti cara menyembelih, melapah, dan mengagihkan daging-daging korban. Kebanyakan sukarlewan yang hadir untuk membantu menyatakan rasa gembira kerana berpeluang membantu melaksanakan ibadah korban pada kali ini.

Pengerusi ISMA-Mesir merangkap Pengarah Program Korban ISMA-Mesir, Muhammad Sabri Muda telah melahirkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang membantu dengan penuh dedikasi. Beliau juga menyatakan bahawa program sebegini memberikan pengalaman berharga kepada mahasiswa sebagai bekalan apabila kembali ke tanah air nanti dan program ini akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan ISMA-Mesir pada masa akan datang.Program ini telah selesai pada pukul 2 petang.

Pada akhir program, pihak penganjur telah menyediakan makanan tengahari, sup kambing bagi semua sukarelawan sebagai ucapan terima kasih atas sumbagan tenaga mereka. Daging-daging korban telah diagihkan kepada fakir miskin dan juga rumah-rumah mahasiswa di sekitar kawasan tersebut termasuk mahasiswa luar negara seperti Indonesia dan Thailand.


Lagi gambar >

 


Sambutan Hari Raya Aidil Fitri ISMA-Mesir 2007

13 Oktober, Kaherah, Mesir — Bersempena dengan ketibaan 1 Syawal 1428H, Ikatan Muslimin Malaysia Mesir (ISMA-Mesir) telah mengadakan satu majlis sambutan Hari Raya Aidil Fitri bertempat di Hayyu Asyir. Program tersebut bertujuan merapatkan ukhuwah di kalangan mahasiswa di Mesir di samping menginsafi ketibaan 1 Syawal serta bermuhasabah terhadap Ramadhan yang telah pergi. Program telah bermula pada jam 12.30 tengah hari sehingga 5.30 petang. Pelbagai program telah diatur pada hari tersebut, antaranya ialah, Tazkirah Aidil Fitri, Persembahan Nasyid oleh kumpulan The Cairoes dan Shoutul Tanta, Kuiz, Cabutan Bertuah serta Tayangan Video.

Tetamu yang hadir ke maljis itu dianggarkan melebihi 300 orang dan disajikan dengan pelbagai juadah istimewa. Diharapkan agar majlis seumpama ini dapat menyatukan saff dikalangan muslimin dan merapatkan ukhuwah dikalangan muslimin dalam menghadapi cabaran globalisasi yang semakin mencabar.

Selepas solat raya

Penyampaian hadiah

Lagi gambar >


Sambutan Hari Raya Aidilfitri ISMA-Mesir 2007 (Siswi)

Tanggal 14 Oktober 2007, julung-julung kalinya akhawat mengadakan majlis sambutan Hari Raya Puasa secara besar-besaran. Kira-kira seramai 200 orang tetamu telah hadir ke majlis tersebut yang bermula dari jam 9 pagi sehingga 4.30 petang.

Pelbagai aktiviti yang menarik dijalankan pada sesi pagi. Majlis telah dimulakan dengan bacaan tilawah. Kemudian diisi dengan pengisian rohani mengenai erti sambutan Hari Raya. Takbir raya bergema menyentuh hati, menyedarkan kami daripada kantuk bahawa Allah itu Maha Besar. Esakan dan tangisan menyelubungi majlis yang penuh syahdu itu.

Majlis seterusnya diserikan lagi dengan persembahan daripada beberapa orang tetamu yang hadir, yang diselang-selikan dengan cabutan bertuah, kuiz dan tayangan slaid. Acara pagi ditutup dengan tasbih kaffarah dan bacaan doa. Tetamu-tetamu yang terdiri daripada sahabat handai disajikan dengan makanan-makanan yang lazim seperti nasi impit, kuah kacang, rendang dan kuih-muih. Kemudian ditambah lagi keenakannya dengan hidangan mee ala-ala soto memandangkan kekurangan bahan-bahan yang diperlukan di perantauan.

Meriahnya majlis kali ini hinggakan para tetamu tidak putus-putus datang dan pergi. Majlis berakhir dengan penuh rasa syukur dan semoga di hari yang mendatang ianya membawa keberkatan seiring dengan ukhuwah yang telah dipupuk sejak di awal perkenalan lagi.

Akhawat beraya
Teman-teman pengubat rindu keluarga tercinta

Tetamu
Sebahagian tetamu yang hadir di Rumah Terbuka ISMA-Mesir (Akhawat)

Menjamu selera
Tetamu menjamu selera

 


Perkampungan 10 Akhir Ramadhan 2007

Madinah Nasr, Kaherah: Bersempena dengan kedatangan 10 akhir Ramadhan kali ini, ISMA-Mesir buat julung kalinya telah melakar sejarah baru dalam aktiviti tahunan mereka, menganjurkan Program Perkampungan 10 Akhir Ramadhan bertempat di Pejabat ISMA-Mesir, Kaherah bermula pada hari Jumaat, 5 Oktober hingga hari Rabu, 10 Oktober yang lalu. Seramai 35 orang peserta telah mendaftarkan diri ke dalam program ini. Bilangan peserta yang lebih daripada jangkaan telah memberikan motivasi yang tinggi kepada pihak urusetia dalam mengendalikan program kali ini.

Antara objektif yang cuba dicapai daripada program ini ialah:

  1. Membiasakan diri para peserta untuk lari seketika daripada rutin harian pada tempoh 10 akhir Ramadhan.
  2. Melatih diri peserta untuk menghayati nilai pengobanan yang sebenar pada bulan Ramadhan.
  3. Memupuk semangat kerjasama di kalangan peserta dalam usaha untuk bertemu keberkatan Laila-tul Qadr.

Misi penghayatan dan menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan ini bermula dengan taklimat umum kepada para peserta yang dikendalikan oleh Pengarah program, Saudara Salman Al-Farisi Selamat. Program kali ini turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengerusi Badan Penaja ISMA-Mesir, Saudara Nur Faizul Nuzam dan juga Timbalan Setiausaha, Saudara Shuhaib Ar-Rumy Selamat. Kehadiran mereka sangat dihargai oleh peserta dalam usaha memperkenalkan ISMA kepada mereka.

Selepas itu, para peserta terus bersiap untuk tidur sebentar sebelum mereka akan bangun secara beramai-ramai untuk melakukan iktikaf jamaie di Masjid Salam bersama-sama dengan masyarakat Arab setempat. Suasana malam yang dingin pada permulaan musim sejuk ini, tidak menghalang peserta menggagahkan diri untuk melangkah ke tempat iktikaf dengan pengharapan untuk bertemu dengan Laila-tul Qadr yang dicari-cari.

Setelah selesai beriktikaf, tentatif diteruskan dengan sesi sahur secara berjamaah di pejabat ISMA-Mesir. Keceriaan di wajah peserta dan juga pihak urusetia jelas terpancar biarpun mereka baru sahaja selesai melakukan qiam dan solat tahajud. Lebih-lebih lagi, dengan menu sahur yang sangat menyelerakan di sepanjang program.

Para peserta kemudian kembali menuju ke Masjid Salam untuk menunaikan Solat Subuh berjemaah dan beriktikaf di sana sehingga jam 7 pagi. Setelah itu, peserta diberikan kelonggaran untuk melakukan aktiviti harian sehingga waktu zuhur,di mana mereka berkumpul semula di Masjid Salam dan beriktikaf di sana sehingga selesai Solat Asar.

Peserta bergerak semula ke Pejabat untuk slot Tazkirah dan juga persiapan untuk berbuka puasa. Slot Tazkirah di sepanjang program selama 4 hari ini telah disampaikan secara bergilir-gilir oleh peserta yang ditugaskan. Telatah penyampai tazkirah yang kadang-kadang mencuit hati, telah menghidupkan suasana menjadi ceria di kalangan peserta setelah agak keletihan berpuasa.

Menurut Pengarah Program, Saudara Salman Al-Farisi Selamat, daripada maklumbalas yang diterima, seluruh peserta berpuas hati dengan perjalanan program dan berharap agar program sebegini dikekalkan sebagai aktiviti tahunan ISMA-Mesir pada setiap bulan Ramadhan di masa akan datang. Menurut beliau lagi, secara keseluruhannya, program telah mencapai objektif yang telah disasarkan dan beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada para peserta di atas komitmen yang ditunjukkan pada program kali ini.

Iktikaf

Lagi gambar >


 

Kejohanan Piala Suq Sayyarat 2007

Kaherah – ISMA-Mesir buat julung kalinya telah menganjurkan Kejohanan Piala Suq Sayyarat bagi tahun 2007. Kejohanan yang memakan masa selama 2 hari ini iaitu pada 1 dan 2 Ogos 2007, telah diadakan di Suq Sayyarat, Hayyu ‘Asyir, Madinah Nashr. Seramai 14 pasukan dari pelbagai negeri telah mengambil bahagian dalam kejohanan pada kali ini.

Piala Suq Sayyarat
Kejohanan Piala Suq Sayyarat 2007

Kejohanan yang julung-julung kalinya dianjuran oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA-MESIR) ini bertemakan sabda Ar-Rasul SAW:

Mafhumnya: “Dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Justeru, antara objektif yang ingin dicapai melalui kejohanan ini adalah untuk menyemai nilai ukhuwah dan persaudaraan sesama Muslim di samping memupuk nilai-nilai akhlak Islam itu sendiri dalam diri setiap pemain.Kejohanan pada tahun ini telah dijuarai oleh pasukan Istana FC, diikuti ARMA FC di tempat kedua, Darul Ehsan FC di tempat ketiga dan Negeri Sembilan FC di tempat keempat. Juara kejohanan membawa pulang piala pusingan, pingat beserta hamper manalaka tempat kedua dan ketiga membawa pulang pingat dan hamper sementara tempat keempat pula membawa pulang hamper.Kejohanan ini telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada setiap pasukan yang rata-rata berpuas-hati dengan perjalanan kejohanan serta bersyukur atas peluang untuk menjalinkan ukhuwah di antara mahasisiwa-mahasiswa di bumi Mesir. Pihak penganjur berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan kejohanan ini, dan berharap agar ia akan terus diadakan setiap tahun, Insya-Allah.

Gambar-gambar menarik sepanjang kejohanan:

Kain rentang Piala Suq Sayyarat
Kain rentang kejohanan

Johan Piala Suq Sayyarat
Johan Kejohanan Piala Suq Sayyarat 2007

Dua pasukan
Dua pasukan yang beradu di peringkat akhir kejohanan

Lagi gambar >

5 Responses

  1. semoga ukhuwah yang terjalin akan trus utuh..

  2. Alhamdulillah, kejohanan yg bersejarah,
    seronoknya tenggok gambar2 antum, sayangnya ana tak dapat sertai sekali, insyallah tahun depan kite jumpa lg dikejohanan yg sama, rabbunayuqwwikum. salam ukhwah dr bumi kanggaro

  3. seronoknya tengok gambar2 antum, klu ada program lain letak gambar banyak2, salam rindu dr bumi kanggaro, rabunayaqawwikum.

  4. teringinnya ana nak ke mesir..salam ukhuwwah dr ana@ bumi kangaroo

  5. doakan ana agar dpt sampai kembali ketanah anbiya’

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: