Helwa

Tinta Helwa


SAYYIDAH AR-RUBAYYI’ BINTU MU’AWWIZ (RA)

Sekilas Tentang Dia:

-Bapanya adalah salah seorang pembunuh Abu Jahal dalam perang Badar.
-Memeluk Islam sebelum Rasulullah (saw) berhijrah ke Madinah.
-Antara wanita Ansar yang telah banyak menyertai peperangan yang  diketuai oleh Rasulullah (saw).

Yang Menjadikannya Istimewa:

Telah diriwayatkan dari Zubair: Asma Bintu Mukharribah adalah seorang wanita yang biasa menjual minyak wangi kepada para wanita di Madinah. Dia telah datang menemui Rubayyi’ untuk menjual minyak wanginya. Setelah Rubayyi’ diperkenalkan kepadanya (bahawa beliau adalah anak kepada Mu’awwiz),  Asma’ mengherdiknya dengan berkata: ” Jadi engkaulah anak perempuan yang telah membunuh ketuanya.” Rubayyi’ lantas menafikan orang seperti Abu Jahal itu dianggap sebagai ketua ayahnya. Beliau segera menjawab: ” Bahkan akulah anak perempuan orang yang telah membunuh hambanya.” Mendengar perkataan Rubayyi’ itu, Asma’ berkata dengan marahnya: “Maka haram bagiku menjual minyak wangi kepadamu.” Rubayyi’ menjawab dengan nada yang sama: “Maka haram pula untukku membeli minyak wangi darimu. Tidak pernah aku dapati sebarang minyak wangi yang lebih busuk baunya selain daripada minyak wangimu itu.” Kemudian beliau bangun seraya berkata: ” Sesungguhnya aku berkata demikian pada minyak wanginya untuk membangkitkan kemarahannya.”

Lihatlah betapa beliau mempunyai perasaan yang mudah tersinggung apabila ada orang yang cuba mencemarkan Islam. Beliau sama sekali tidak membiarkan seorang yang nyata sebagai musuh dianggap sebagai ketua. Bagaimana pula kita berbanding dengan beliau? Saban hari kita mendengar berbagai sanjungan buat musuh-musuh Islam yang terungkap dari bibir orang-orang Islam sendiri. Saudara-saudara seIslam kita ditindas di sana sini, namun berapa ramaikah yang tersinggung dan menghulurkan bantuan buat mereka. Semoga Allah memberikan ganjaran yang besar buat mereka yang membela agama Allah.

Sumber rujukan:

Sohabiyyat Hawla Rasul – Muhammad Roji Hassan Kannnas – -Darul Ma’rifat
Kisah-Kisah Para Sahabat – Muhammad Zakaria Khandahlawi –Jahabersa – Bin Halabi Press


UMMU SULAIM AL-ANSORIAH (RA)

Sekilas Tentang Dia:

  • Nama sebenarnya ialah Ghumaisa’ Bintu Milhan
  • Ibu kepada Anas Bin Malik (ra)
  • Berumur 40 tahun ketika Islam mula menyinari bumi
  • Memeluk Islam ketika dakwah Mus’ab Bin Umair di Madinah
  • Berkahwin dengan Abu Talhah selepas kematian suaminya yang pertama

Yang Menjadikannya Istimewa:

Selepas keislamannya, suaminya Malik Bin Nadhr memujuknya supaya kembali kepada agama asal namun beliau tetap dengan pendiriannya dan akhirnya suaminya meninggalkannya dan menuju ke Syam, dan tidak lama selepas itu suaminya mati dalam kesyirikan.

Selepas kematian suaminya itu, Abu Talhah yang ketika itu belum memeluk Islam datang membawa emas dan perak untuk meminangnya. Lantas beliau berkata, “Aku tidak berhajat kepada dua benda ini, akan tetapi maharku adalah Islam, sekiranya engkau terima maka aku tidak berhajat kepada perkara yang lain”.

Abu Talhah kemudian keluar dan kembali sebagai seorang Muslim, maka beliau pun mengahwininya. Berkata seorang wanita Ansar, “Tidak pernah kami mendengar hingga kini seorang yang lebih mulia maharnya dari Ummu Sulaim yamg mana maharnya adalah Islam”.

Hasil perkahwinannya dengan Abu Talhah, beliau di kurniakan seorang anak bernama Abu Umair. Suatu hari, ketika suaminya keluar bermusafir, anaknya telah ditimpa sakit yang akhirnya membawa kepada ajalnya. Ummu Sulaim telah memandikan dan mengkafankannya. Selepas itu beliau berkata kepada ahli keluarganya, “Biarlah aku yang mengkhabarkan berita tentang kematian anakku ini kepada suamiku”.

Sekembalinya Abu Talhah dari bermusafir, dia bertanyakan khabar anaknya itu. Ummu Sulaim dengan tenang menjawab, “Anak kita berada dalam keadaan aman”. Apabila menjelang malam, berkata Ummu Sulaim, “Wahai suamiku, andaikata seseorang itu diberi pinjam sesuatu barang, kemudian empunya barang itu minta dikembalikan barangnya, patutkah dia tidak mengembalikannya?” Jawabnya: “Tidak”. Kemudian Ummu Sulaim berkata, “Sesungguhnnya Allah telah mengambil semula apa yang dikurniakan kepada kita, anak kita telah pun diambilnya kembali”. Pilu hati Abu Talhah mendengar kata-kata isterinya itu, namun dia redha dengan takdir Allah.

Subuhnya, Abu Talhah pergi menemui Rasulullah (saw) dan menceritakan peristiwa yang berlaku itu. Kemudian Rasulullah (saw) berdoa semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik. Tidak lama selepas itu, Ummu Sulaim telah dikurniakan 10 orang anak yang mana kesemuanya dikalangan ulama yang terpilih.

Lihatlah betapa tabahnya hati seorang ibu dalam menghadapi detik-detik kematian anaknya dan betapa bijaknya dalam menyampaikan khabar duka itu dengan menggunakan uslub yang menarik. Begitu juga dengan kekentalan imannya sehingga sanggup berpisah dengan suami yang dicintainya dan menukarkan emas dan perak dengan Islam sebagai maharnya. Semoga kita dapat mencontohi pekerti Ummu Sulaim yang mulia ini, dan moga Allah mengurniakan kepada kita semua ketabahan iman dalam menempuhi liku-liku hidup ini. Allahumma Ameen.

Sumber rujukan:

  • Sohabiat Hawla Rasul
    Muhammad Roji Hassan Kannas
  • Suwar Min Hayati Sohabiat
    Dr. Abd.Rahman Rafat Basya
  • Kisah-kisah Para Sahabat
    Maulana Muhammad Zakaria Khandalawi

SAIYIDATINA HINDUN BINTI ABI UMAIYAH (RA)

Sekilas Tentang Dia:

  • Dikenali dengan gelaran Ummu Salamah
  • Ayahnya Abu Umaiyah Bin Al-Mughirah Al-Quraishiyyi antara ketua Bani Makhzum
  • Beliau bersama suaminya Abdullah Bin Abdul Asad di kalangan yang terawal memeluk Islam
  • Suaminya terkorban dalam Perang Uhud
  • Berkahwin dengan Rasulullah S.A.W. selepas menolak lamaran Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab
  • Meninggal pada tahun 61 Hijrah

Yang Menjadikannya Istimewa:

Ummu Salamah begitu tabah menghadapi ujian yang berat bagi seorang isteri dan ibu, yaitu dipisahkan secara paksa dari suami dan anaknya. Kejadian ini berlaku sewaktu Ummu Salamah dan suaminya berhijrah ke Madinah. Sebelum ini pasangan itu telah berhijrah ke Habsyah. Namun hijrah mereka ke Madinah ini bukanlah satu perjalanan yang mudah sebagaimana yang mereka bayangkan.

Sebelum mereka keluar dari Makkah, orang-orang dari suku ayahnya (Bani Mughirah) menyaksikan mereka dan menghampiri mereka lalu menyentap tali unta yang dipegang oleh Abu Salamah seraya berkata: “Engkau boleh pergi ke mana sahaja yang engkau suka, tetapi kami sekali-kali tidak akan membenarkan perempuan ini pergi dan mati bersamamu”. Selepas itu, mereka pun mengambil Ummu Salamah dan anaknya secara paksa kembali kepada suku mereka.

Apabila berita ini sampai ke pengetahuan suku suaminya, mereka datang bertengkar dengan Bani Mughirah sambil berkata: “Kalian boleh ambil perempuan ini kalau kalian suka, tetapi demi Allah kalian tidak berhak membuat tuntutan ke atas anak ini kerana dia adalah hak suku kami. Mengapa patut kami membenarkan dia tinggal bersama kalian sedangkan kalian pula tidak mengizinkan perempuan ini pergi bersama suaminya”.

Selepas itu anaknya diambil secara paksa oleh Bani Asad, manakala suaminya pula ketika itu sudah sampai di Madinah. Dengan itu terpisahlah anak-beranak ini antara satu sama lain.

Bermula dari hari itu, tiap-tiap hari Ummu Salamah pergi ke padang pasir dan duduk di tempat yang menyaksikan episod dukanya sambil mengenangkan nasibnya hinggalah ke malam hari. Perkara ini berterusan salama setahun atau hampir setahun hinggalah datang seorang lelaki di kalangan sepupunya yang menaruh belas kasihan terhadapnya dan berkata kepada orang-orang dari suku Ummu Salamah: “Tidakkah kamu semua mempunyai perasaan belas kasihan kepadanya dan membiarkannya pergi sahaja. Kamu semua telah memisahkannya daripada suaminya dan anaknya”.

Oleh kerana dia berterusan memujuk mereka, Bani Mughirah akhirnya mengizinkan Ummu Salamah menyertai suaminya. Begitu juga dengan Bani Asad yang menyerahkan semula anak Ummu Salamah.

Ummu Salamah terus bersegera menuju ke Madinah bersama anaknya dengan menunggang unta kepunyaannya tanpa ada sesiapapun bersamanya melainkan Allah sebagai peneman.

Belum pun sempat mereka bertolak sejauh tiga batu, Uthman Bin Tolhah telah bertemu dengannya di Tan’im dan berkata: “Ke mana kamu hendak pergi?”

Dia menjawab; “Aku ingin bertemu dengan suamiku di Madinah.”

“Tanpa sesiapapun menemani kamu?”

“Ya, melainkan Allah yang menemani ku”.

“Demi Allah, aku tidak akan meninggalkan kamu selama-lamanya hinggalah engkau sampai di Madinah”.

Uthman Bin Tolhah pun mengambil tali unta Ummu Salamah dan memimpinnya.

Pengajaran:

Berbekalkan keimanan dan keyakinannya kepada Allah, Ummu Salamah sanggup memulakan perjalanan yang begitu jauh di masa itu dan merbahaya pula. Lalu Allah telah mengutuskan pertolongan kepadanya. Sesungguhnya kesusahan dan kesukaran yang dialaminya semasa terpaksa berpisah dengan suami yang tercinta dan anak yang tersayang benar-benar menguji naluri seorang isteri dan ibu. Namun dalam mengharungi mehnah dan ujian itu, beliau menghadapinya dengan penuh kesabaran dan tawakkal kepada Allah S.W.T.

Sumber rujukan:

  • Suwari Min Hayati As-Sohabiyyati
    Dr Abd Rahman Ra’fat Al-Basya
    Darul Adab Al-Islami
  • Kisah-Kisah Para Sahabat
    Maulana Muhammad Zakariya Khandahlawi
    Percetakan Bin Halabi Press

SAIYIDATINA SOFIYYAH BINTI ABDUL MUTHOLIB (RA)

Sekilas Tentang Dia:

  • Ibu saudara kepada Rasulullah S.A.W.
  • Ibu kepada Az-Zubair Bin Al-Awwam
  • Saudara perempuan “Singa Allah”
  • Memeluk Islam sebelum Hijrah
  • Berhijrah ke Yathrib bersama dengan kelompok pertama yang memeluk Islam
  • Meninggal di Madinah pada tahun ke 20 hijrah ketika berumur 73 tahun

Yang Menjadikannya Istimewa:

Semangat keberaniannya terserlah ketika dalam Perang Khandaq yang tercetus kerana Yahudi Bani Quraizoh memungkiri janji dengan Rasulullah S.A.W. Semasa peperangan berlaku, Rasulullah S.A.W. telah meletakkan para wanita dan kanak-kanak di dalam sebuah benteng pertahanan di bawah pengawasan Hassan Bin Tsabit. Madinah ketika itu berada dalam keadaan yag sangat terancam. Musuh sentiasa mencari peluang untuk mendapatkan maklumat mengenai keadaan orang Islam ketika itu. Untuk tujuan itu mereka telah menghantar seorang lelaki untuk mengintip dan dia telah berjaya melewati barisan pertahanan dan berlegar-legar di sekitar kubu pertahanan.

Saiyidatina Sofiyyah yang ketika itu berada di benteng pertahanan telah ternampak gerak-gerinya dan segera berkata kepada Hassan: “Di sana ada seorang lelaki yang sedang mengintip segala gerak-geri kita, pergilah engkau membunuhnya”. Hassan R.A. adalah seorang yang lemah dan beliau tidak berani untuk melakukan kerja seumpama itu. Melihatkan keadaan wanita-wanita keluarga Rasulullah S.A.W. serta dirinya berada dalam keadaan yang berbahaya, Saiyidatina Sofiyyah segera mencapai besi khemah dan keluar dari benteng pertahanan meluru ke arah orang Yahudi tersebut dan terus memukulnya hingga lelaki tersebut rebah ke bumi.

Sekembalinya ke benteng, beliau mencampakkan besi tersebut seraya berkata kepada Hassan: “Aku telah membunuhnya, pergilah engkau kepadanya memindahkan pakaian dan senjata di badannya kerana atas sebab-sebab kehormatan diri maka aku tidak mahu melakukannya. Selepas engkau pindahkan segala yang terdapat pada tubuhnya, bawalah kepalanya selepas engkau ceraikan ia dari tubuhnya.” Namun Hassan terlalu lemah semangatnya, maka sekali lagi Saiyidatina Sofiyyah keluar seorang diri melakukan pekerjaan tersebut dan beliau kembali ke khemah dengan membawa kepala tersebut.

Beliau kemudian melemparkannya melepasi dinding benteng ke arah orang-orang Yahudi yang menunggu kepulangan teman mereka. Umurnya pada ketika itu telah mencecah 58 tahun, tapi lihatlah keberaniannya yang berjuang membunuh seorang Yahudi demi untuk menyelamatkan maruah dan kehormatan Muslimah ketika itu.

Kita Bagaimana?

  • Kita perlu berusaha untuk lebih berani, terutama sekali dalam urusan amar ma’ruf nahi mungkar. Antara yang boleh membina keberanian ialah kuatnya keyakinan kita terhadap kuasa Allah serta bersedia untuk menerima segala taqdirNya dengan sabar dan redha. Sokongan dari sahabat-sahabat dalam suasana ukhuwwah imaniyyah juga boleh membantu ke arah ini. Selain itu, berusahalah untuk sentiasa berfikiran positif. Elakkan daripada membayangkan senario-senario negatif yang mungkin berlaku. Menjangkakan akan berlakunya sesuatu yang negatif hanya sekadar memenuhi syarat membuat persediaan dan hadzar. Namun jangan benarkan jangkaan-jangkaan itu menjadikan kita terlampau takut untuk bergerak.
  • Memahami bahawa keberanian bukan bererti bertindak secara sembrono tanpa membuat perhitungan serta tanpa menghiraukan akibat.
  • Takut itu manusiawi, hatta Nabi Musa a.s sendiri pernah mengakui berasa takut (rujuk Surah asy-Syu’ara’ ayat 10-15). Namun perasaan itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengelak dari melaksanakan tanggungjawab dakwah sehingga mengakibatkan kita futur atau tercicir dari menyertai kafilah dakwah. Seperti Nabi Musa a.s, mohonlah bantuan daripada Allah agar kita dapat menguasai perasaan itu serta mengatasi apa jua kelemahan diri yang menyebabkan kita kurang berkeyakinan.
  • Perlunya kita bersikap proaktif dan mengambil inisiatif untuk melakukan sesuatu. Kalau setiap daripada kita sentiasa menanti orang lain untuk bergerak atau tidak boleh bergerak kalau tidak diarah, akibatnya mungkin tidak akan ada langsung yang bergerak – “Everybody blamed Somebody when Nobody did what Anybody could have done,” kata pepatah Inggeris.

5 Responses

  1. Tahniah buat ISMA-Mesir kerana setapak lagi melangkah ke depan…moga2 dengan amal berterusan dari kalian akan membuahkan hasil dan membuka minda2 kami -abnaul azhar- di Mesir…..

  2. tahniah,

    moga semakin bingkas bersama membangunkan umat

    salam dari seremban

  3. BUAT HELWAISMA MESIR,
    selamat meneruskan perjuangan, bangkitlah bersama srikandi Islam ,semarakan ikatan ukhuwwah Islamiah,doa kami sentiasa mengiringi kalian ,SALAM DARI UMMU MURSYID & KELUARGA

  4. Salam ukhuwwah buat semua akhawat di bumi Nil. Kutiplah seberapa banyak permata tak ternilai sementara berada di sana.

  5. salam…
    asyik sohabiyat je, x de benda kreatif yg lebih segar ke dari akhawat mesir kita?
    kami menantikan pembaharuan!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: